Thursday 16 February 2012

Baju Melayu Johor Dan Istiadat Johor



Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya 
berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan 
berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut 
digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju Melayu 
teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita (dikenali sebagai baju kurung) 
pada dasarnya adalah sama kecuali; 

a) Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar 
dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah 
hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya 
hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. 

b) Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau 
Seluar panjut. Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis 
batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak 
mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala 
kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini. 

Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, 
iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk 
menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain 
dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak- 
ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan 
tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan 
emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju 
kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini 
tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan 
oleh masyarakat Melayu zaman dahulu. 


ISTIADAT PEMAKAIAN BAJU RASMI JOHOR
Peraturan pakaian istiadat Johor
Oleh ABDUL RAHIM RAMLI
SEBAGIMANA negeri-negeri lain, Johor juga mempunyai peraturan pakaian bagi istiadat
khasnya yang terlibat dengan istana.
Peraturan ini diwujudkan pada Maharaja Abu Bakar semasa kerajaan Johor berada di Telok
Belanga, dan telah dipinda, ditokok tambah dan diperbaiki dan disesuaikan mengikut peredaran
zaman.
Sultan Abu Bakar terkenal dengan kecenderungan terhadap pakaian cara Barat khasnya setelah
baginda membuat beberapa lawatan ke England.

Baginda membawa balik ke Johor cara pakaian bagi rakyat baginda yang setanding dengan
negeri moden. Namun begitu Baginda tidak mengetepikan cara dan adat Melayu. Malahan
baginda menyesuaikan pakaian Barat dengan unsur-unsur kemelayuan.
Maharaja Abu Bakar mempelopori pakaian Melayu Johor yang sekarang disifatkan ikon Johor,
iaitu Baju Melayu Telok Belanga. Baju bagi lelaki labuhnya sehingga ke bawah pinggang
dengan leher asalnya berlapik lebar dan berkocek dua.
Seluar dari kain yang sama corak dan warna baju adalah bertongkah seperti seluar Cina iaitu
dengan diadakan sambungan kain dibahagian atas seluar bagi membolehkan-nya diikat tanpa
menggunakan tali pinggang.
Potongan pakaian ini amat sesuai dengan keadaan iklim kita. Pakaian tersebut dilengkapkan
dengan kain samping yang dipakai secara dagang dalam iaitu kain dilipat di bawah baju, sama
ada daripada kain pelikat, kain Bugis atau kain sutera. Kepala kain diletak di belakang dan kain
dipakai selabuh paras lutut atau ke bawah lutut.
Setanjak atau destar yang pernah dipakai dalam zaman empayar Johor kurun ke-16 tidak lagi
dipakai sejak zaman Temenggong Daeng Ibrahim. Baginda menggalakkan pemakain turban yang
dipadankan daripada penggaruh Arab dan Parsi.
Pada awalnya Sultan Abu Bakar meneruskan pakaian turban tetapi selepas tahun 1866, baginda
menetapkan songkok baldu hitam dipakai bersama pakaian Melayu. Almarhum Sultan Ibrahim
pula menetapkan songkok dijadikan pakaian Melayu Johor.
Sultan Ibrahim atas nasihat Dato' Onn mengubah baju lelaki dengan tambahan satu kocek di atas
dada dan alas lehernya dijahit halus secara sulaman tulang belut.
Satu lagi jenis pakaian Melayu yang dipelopori Sultan Abu Bakar ialah potongan cekak musang.
Bagaimanapun hanya putera-putera raja, datuk-datuk dan tuan-tuan syed sahaja yang boleh
memakainya dalam istiadat di istana dengan kain samping berdagang luar.
Dalam tahun 1982 Almarhum Sultan Iskandar bertitah hanya Baju Melayu Telok Belanga
dijadikan pakaian rasmi istiadat dan kain samping dipakai di sebelah luar baju dan dinamakan
berdagang luar.
Baju Kurung Telok Belanga bagi perempuan labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya
halus sulaman tulang belut, dan tidak berkocek. Almarhum Sultan Ibrahim mengadakan satu
kocek.
Berbeza dengan baju kurung Malaysia Baju Kurung Telok Belanga mempunyai pesak gantung
atau pesak kekek untuk keselesaan pemakainya. Kain yang dipakai termasuk dari jenis batik,
kain berbunga atau kain yang bercampur dengan benang emas. Kain mesti yang berjahit, bukan
kain lepas, dilipat cara beralun dan diikat labuhnya sampai buku lali.


Asalnya pakaian itu boleh dibuat dengan kain semua warna melainkan warna putih, biru dan
kuning kunyit sedondon, kerana warna-warna itu adalah warna diraja. Mulai 1 Februari 2010
Sultan Ibrahim bertitah warna larangan ini dihapuskan.
Dalam tahun 1995 Almarhum Sultan Iskandar bertitah semua dif wanita memakai Baju Kurung
Telok Belanga dalam majlis-majlis istana, serta memakai tudung kepala. Sultan Ibrahim
membuat perubahan pada Februari 2010 membolehkan dif perempuan bukan Melayu memakai
pakaian hormat masing-masing tanpa bertudung kepala.
Dif lelaki bukan Melayu memakai lounge suit warna gelap, kemeja putih lengan panjang dan
bertali leher warna gelap, bersongkok hitam dan bersepatu hitam. Jika memakai lounge suit
berbutang dua hanya butang sebelah atas dikancing. Butang tengah sahaja dikancing jika
memakai lounge suit tiga butang. Jika memakai double breasted suit satu butang sahaja
dikancing.
Ahli-ahli Darjah Kerabat dan datuk-datuk Johor berhak memakai uniform istiadat yang
ditetapkan dalam majlis rasmi kerajaan di mana Raja berangkat. Jika tidak diisytihar Hari
Kalong, Ahli Pangkat Pertama memakai kain selepang dari bahu kanan ke pinggang kiri dengan
bintang kecil di hujungnya.
Bintang Besar Darjah diletakkan di dada kiri. Kalong Darjah dipakai menggantikan kain
selepang pada Hari Kalong, iaitu dalam istiadat sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Raja,
istiadat kemahkotaan atau ulang tahun darjah.
Pada masa sekarang Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dibekalkan dengan uniform istiadat
untuk dipakai dalam istiadat perasmian Dewan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan juga
dalam istiadat istana. Jika Ahli itu telah dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran sama ada
dari Johor atau dari Kerajaan Persekutuan atau negeri-negeri lain, ia hendaklah memakainya
mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Darjah berkenaan.
Di antara Pegawai-pegawai lain yang berhak memakai uniform istiadat ialah Pegawai
Perkhidmatan Tadbir Negeri, Pegawai Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera, Askar
Timbalan Setia Negeri, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Persekutuan, Kastam, dan
Penghulu-penghulu. Biasanya songkok menjadi sebahagian uniform itu. Songkok tidak boleh
ditanggalkan sepanjang perjalanan majlis.
Yang pasti hanya boot yang tidak bertali dipakai. Bagi pegawai perempuan memakai court shoes
yang bertutup di bahagian hadapan.
Peraturan pakaian ditetapkan dalam surat jemputan. Bagi Majlis Rasmi atau Majlis Mengadap
Sultan lelaki Melayu memakai Baju Melayu Telok Belanga warna serba hitam, berkain songket
berdagang luar, songkok baldu hitam tidak bertekat, sepatu dan stokin hitam. Pakaian stokin dan
sepatu hitam telah ditetapkan oleh Sultan Abu Bakar dan bukanlah perkara baru.
Dif bukan Melayu memakai lounge suit warna gelap dan bersongkok. Ada masanya lelaki
Melayu dikehendakki memakai lounge suit bersongkok. Perempuan Melayu memakai Baju




Kurong Telok Belanga dan bertudung kepala, manakala perempuan bangsa lain memakai
pakaian hormat masing-masing.
Pegawai lelaki memakai kemeja putih lengan panjang atau bush jaket dan bersongkok jika
mengadap menjalankan tugas pejabat. Pegawai perempuan Melayu memakai Baju Kurung Telok
Belanga dan bertudung kepala.
Pakain batik Malaysia lengan panjang bagi lelaki dibenarkan dalam majlis-majlis berunsur
hiburan atau sukan. Pakaian Hari Raya boleh digunakan dalam majlis-majlis lain seperti yang
ditetapkan dalam kad jemputan.
Dalam majlis yang muram seperti istiadat Hari Hol Almarhum kain hitam tenun atau sutera dan
bukan songket dipakai dengan Baju Melayu Telok Belanga warna hitam.
Lelaki Melayu memakai Baju Melayu Telok Belanga warna putih berkain samping hitam tenun
atau sutera dalam istiadat ziarah dengan tanda berkabong lilitan kain putih 2 inci pada songkok
hitam. Perempuan Melayu memakai Baju Kurung Telok Belanga warna putih, berkain batik dan
bertudong kepala warna putih.
Bagi istiadat pemakaman lelaki Melayu yang berhak memakai uniform istiadat. Yang lain
memakai Baju Melayu Telok Belanga seraba hitam dan tanda berkabong di songkok. Lelaki
bukan Melayu memakai lounge suit hitam, bertali leher hitam dan tanda berkabong lilitan kain
hitam lebar 3 inci di lengan kiri.
Pakaian waktu berkabong bagi lelaki Melayu ialah songkok hitam dengan tanda berkabong, bagi
perempuan Melayu tudung kepala warna putih, dan bagi perempuan lain bangsa lilitan kain
hitam 3 inci di lengan kiri. Bagi lelaki bukan Melayu tali leher hitam atau lilitan kain hitam di
lengan kiri.
Peraturan pakaian ini tidak berniat untuk menyekat kebebasan seseorang, bahkan diadakan bagi
menghormati Raja dan menghormati majlis. Ia juga merupakan satu peradaban masyarakat
1Malaysia.
Sekiranya seseorang itu berperasaan menyinggung kebebasannya atau bertententangan dengan
fahaman kebudayaan bangsanya adalah lebeh elok dia memaklumkan terlebeh dahulu diatas
ketidakhadirannya supaya tidak mendatangkan masalah. Tidak perlu dia menghebohkannya
dalam media masa.
Begitu juga pakaian waktu berkabong bukanlah paksaan, bahkan secara sukarela dan dengan
perasaan tulus ikhlas dan taat setia rakyat kepada Almarhum.

DATUK ABDUL RAHIM RAMLI ialah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor


No comments:

Post a Comment