Sunday, 26 February 2012

Selidik Sebelum Merisik

Selidik Sebelum Merisik

Jika memilih tidak bercinta sebelum berkahwin seperti kehendak syarak, jangan sampai berkahwin dengan seseorang yang kita tidak jelas tentang agama dan akhlaknya. Jangan mudah terpesona dengan apa yang terpapar di mata. Perlu merisik dengan bijaksana dan penuh kreativiti.
Macam-macam cara merisik. Ada orang yang menghantar spy. Ada yang bertanya kepada keluarga dan jiran tetangga si dia. Ada yang menilai melalui facebook dan blog si dia dalam diam…dan ada bermacam-macam lagi bentuk risikan. Kreatif!

Merisik dengan cara berkawan-kawan dulu dengan si dia? Hmm, itu bukan merisik, tapi berpelesit. Ianya syubhat, kata Yusuf al-Qaradhawi. Tiada contoh begini yang ditunjukkan oleh golongan salafussoleh.
Lebih menarik, ada yang merisik melalui orang tengah yang amanah dan dihormati agama dan akhlaknya. Beruntunglah bagi mereka yang mengikuti mana-mana institusi usrah atau halaqah kerana mereka lebih mudah menemui orang tengah yang amanah.

Ikuti teladan betapa berhati-hatinya Saidina Umar untuk mengenali peribadi seseorang. Saidina Umar semasa cuba menyingkapi keperibadian seseorang, beliau sudah meletakkan piawaian tertentu.
Beliau tidak mudah tertipu melihat postur dan penampilan seseorang. Beliau meletakkan kayu ukur tertentu bagi menilai agama dan akhlak seseorang itu. Ketika datang seorang lelaki yang memberikan kesaksian untuk seseorang, Umar bertanya kepadanya:

Umar : Adakah kamu mengenal orang ini?
Sahabat : Ya.
Umar : Adakah kamu berjiran dengannya dan mengetahui saat dia keluar masuk?
Sahabat : Tidak.
Umar : Adakah kamu pernah menemaninya dalam satu perjalanan (musafir) dan mengenal kemuliaan akhlaknya?
Sahabat : Tidak.
Umar : Adakah kamu pernah berinteraksi dengannya yang melibatkan dinar dan dirham (duit), sehingga kamu mengenal sifat hati-hatinya?
Sahabat : Tidak.
Umar : Mungkin kamu pernah melihatnya berdiri dan duduk solat di masjid, mengangkat kepalanya pada suatu ketika dan menundukkannya pada saat yang lain
Sahabat : Ya.
Umar : Pergilah. Sungguh kamu tidak mengenalnya.